Pendidikan
Sekolah Kebangsaan Seri Maimon atau nama ringkasnya SK Seri Maimon, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di Pt Othman, Pt Sulong.
Sebelum ditubuhkan pada 25 Mei 1949, murid-murid dari kampung Parit Othman dan kampung-kampung sekitarnya berulang-alik ke Sekolah Melayu Kampung Jawa, Parit Jalil, Batu Pahat sejauh lebih kurang 5km. Hal ini bukan sahaja menyukarkan dengan terpaksa melintas kebun dan belukar malah murid-murid juga terpaksa menyeberangi sungai Simpang Kiri dengan menaiki sampan untuk ke sekolah tersebut. Menyedari risiko yang dihadapi terutama dari aspek keselamatan murid-murid, seorang dermawan tempatan Puan Hajjah Maimunah bte Haji Ibrahim yang begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh ibu bapa dan murid-murid tersebut telah bermurah hati mendermakan sebidang tanah miliknya seluar 2 ekar, 0 rd, 20 pol untuk dijadikan tapak bangunan sekolah yang dicadangkan
25 Mei 1949 : Sebuah bangunan kayu beratap rumbia berukuran 20 x 20 kaki dibina secara bergotong royong oleh penduduk kampung Parit Othman dan diberi nama Sekolah Melayu Seri Maimon. En. Mohd Noor b. Hj. Arshad telah dilantik sebagai Guru Besar dengan murid seramai 135 orang dan seorang guru penolong.
1957 : Pembinaan sebuah bangunan tambahan seluas 30 x 40 kaki telah dibuat. Pada tahun ini juga nama sekolah telah ditukar kepada Sekolah Umum Seri Maimon. 1960 : Pembinaan bangunan tambahan 4 bilik darjah oleh Kementerian Pelajaran.
1970 : Pembinaan sebuah banggunan 2 tingkat mengandungi 8 bilik darjah, 1 pejabat guru besar, 1 bilik rehat guru dan sebuah kantin bernilai RM140,00.00.
24 Julai 1976 : SKSM telah dirasmikan oleh Y.B Dato’ Othman b. Hj. Saat, Menteri Besar Johor.
1985 : Pembinaan sebuah bangunan tambahan ”Projek Kilat” mengandungi 4 bilik darjah bernilai RM80,000.00.
1986 : Pembinaan sebuah banggunan ”Gotong Royong” bernilai RM50,000.00.
1990 : Pembinaan Pusat Kegiatan Guru (PKG).
1993 : Pembinaan bangunan Bengkel Kemahiran Hidup bernilai RM20,000.00 atas usaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru. Bangunan ini telah dirasmikan oleh Tuan Hj. Awang b. Muhmad (Setiausaha Pembangunan Menteri Besar Johor).
1 Mei 1994 : Sekolah Kebangsaan Seri Maimon telah dinaiktaraf ke Sekolah Gred A.
1999 : Sebuah bangunan 2 bilik darjah telah siap dibina dengan peruntukan JPNJ bernilai RM40 000.00. Bangunan ini dapat diguna pakai sebaik sahaja sesi persekolahan 1999 bermula.
2002 : JPNJ telah memperuntukan wang sebanyak RM120 000.00 bagi membina 2 bilik darjah, 1 tandas murid dan membaik pulih pagar sekolah. Projek ini dapat disiapkan menjelang sesi persekolahan 2002.
2003 : JPNJ telah memperuntukkan wang sebanyak RM5 000.00 bagi membina lanskap untuk projek keceriaan sekolah 2004 : Penurapan dataran kejat yang dibiayai oleh YB ADUN Seri Medan.
10 September 2006 : Pembinaan sebuah bangunan Pra Sekolah dan makmal komputer.
_________________________________________________________________________________________________________________________________________
SMK Penghulu Saat
Jalan Raja Ahmad Parit Sulong, Parit Sulong
07-4186393
https://smkpenghulusaad.wordpress.com/ (wordpress)
http://penghulusaatsmkps.blogspot.my/ (blog)
_________________________________________________________________________________________________________________________________________
Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sulaiman
Selepas merdeka, kerajaan telah memperkenalkan Sistem Peperiksaan Darjah VI sebagai syarat kemasukan ke sekolah menengah. Kerajaan juga memperkenalkan sistem pelajaran aneka jurusan pada masa itu untuk memberi peluang kepada anak-anak lepasan sekolah rendah melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 tahun lagi.
Hasil wawasan tersebut tertubuhlah Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Sulong pada 10 Januari 1965. Guru Besar pertamanya ialah En. Yusuf b. Ahmad yang hanya menjalankan tugas untuk tempoh masa dua bulan sahaja sebelum tempat beliau digantikan oleh Tn. Hj Daud b. Ibrahim pada bulan Mac 1965. Guru Penolong Kanan yang pertamanya pula ialah Tn. Hj. Shukri b. Hj. Sulaiman manakala Ketua Pengawasnya ialah saudara Abdul Majid b. Abdullah.
Tahun-tahun Awal
Pada tahun pertama ditubuhkan, jumlah muridnya hanya 195 orang sahaja yang mendaftar masuk ke tingkatan satu bersama-sama 10 orang guru. Jumlah tersebut telah meningkat bilangannya kepada 240 orang pada 5 Januari 1966 bagi pendaftaran tahun berikutnya, manakala bilangan gurunya pula bertambah seorang lagi, menjadikannya 11 orang. Bilangan murid terus meningkat sehingga pernah mencecah 2000 orang pada satu ketika sehingga kerajaan terpaksa menubuhkan sebuah lagi sekolah menengah berhampiran sekolah ini.
Pada tahun 1967, beberapa peristiwa besar berlaku yang menandakan Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Sulong (SMRKPS) melangkah setapak lagi di bidang pendidikan tempatan. Pada tahun inilah, lencana sekolah ini mula diperkenalkan dan digunakan secara rasmi pada penghujung tahun 1967. Edisi pertama majalah sekolah, ‘TERAJU’, juga telah berjaya diterbitkan pada 5 Oktober 1967. Pada tahun ini jugalah kumpulan pertama 191 orang pelajar telah menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan mencatatkan peratus kelulusan yang membanggakan iaitu 63%.
SMDS (1967 – 1975)
Tahun 1967 sekali lagi menjadi tanda sejarah kepada peristiwa besar pengisytiharan secara rasmi nama Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Sulong kepada Sekolah Menengah Dato’ Sulaiman (SMDS) Parit Sulong.
Koperasi sekolah pula telah ditubuhkan pada tanggal 30 Julai 1968 dan secara rasminya didaftarkan pada tahun 1971. Koperasi ini telah berjaya menaikkan nama sekolah apabila sering kali merangkul johan dan naib johan dalam Pertandingan Kuiz Koperasi Sekolah peringkat Daerah Batu Pahat sehingga kini.
Tanggal 28 Jun 1972, SMDS telah dirasmikan penubuhannya oleh Y.B Dato’ Hussein Onn (Tun) Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu. Y.B Dato’ Ninam Shah juga dengan rasminya telah membuka Rumah Pengakap sekolah pada 16 September tahun yang sama. Pada tahun 1974, SMDS sekali lagi mencipta nama apabila mencapai keputusan peperiksaan SRP terbaik di Negeri Johor iaitu 69.2%, dengan mengalahkan 51 buah sekolah menengah yang lain pada ketika itu.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah ditubuhkan pada tahun 1975 dengan penyandang Pengerusi PIBG yang pertama ialah Tn. Hj. A Jabar b. A Kahar. Kejayaan demi kejayaan terus dicipta dan dirangkul oleh SMDS dan pada tahun 1975. Dengan keyakinan tersebut maka pendidikan aliran sains mula ditawarkan di SMDS dengan tawaran kelas 4 sains tulen telah dimulakan.
SMKDS (1976 – kini)
Akhirnya, sekali lagi SMDS ditukar namanya kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sulaiman (SMKDS) sehingga kini. Sekolah ini menempatkan kira-kira 1450 orang pelajar, dengan 108 orang guru kesemuanya.